Pages

Tuesday 31 May 2011

Hidup Adalah Pilihan



Ada 2 biji benih tanaman yang terhampar
di sebuah ladang yang subur. Biji benih yang pertama
berkata, “Aku ingin tumbuh besar. Aku ingin
menjejakan akarku dalam-dalam di tanah ini,
dan menjulangkan tunas-tunasku di atas
kerasnya tanah ini. Aku ingin membentangkan
semua tunasku untuk menyampaikan salam musim
semi. Aku ingin merasakan kehangatan matahari,
dan kelembutan embun pagi di pucuk-pucuk daunku.”
Dan bibit itu tumbuh, makin menjulang.
Biji benih yang kedua pula berkata, “Aku takut.
Jika kutanamkan akarku ke dalam tanah ini,
aku tak tahu, apa yang akan kutemui di bawah
sana. Bukankah di sana sangat gelap?
Dan jika kuteroboskan tunasku ke atas,
bukankah nanti keindahan tunas-tunasku akan
hilang? Tunasku itu pasti akan terkoyak. Apa yang
akan terjadi jika tunasku terbuka,
dan siput-siput mencoba untuk memakannya?
Dan pasti, jika aku tumbuh dan merekah,
semua anak kecil akan berusaha untuk mencabutku
dari tanah. Tidak, akan lebih baik jika aku
menunggu sampai semuanya selamat.”
Dan biji benih itupun menunggu, dalam kesendirian.
Beberapa minggu kemudian, seekor ayam mengais
tanah itu, menemukan biji benih yang kedua tadi,
dan memakannya segera.
Memang selalu saja ada pilihan dalam hidup.
Selalu saja ada peranan-peranan yang harus kita
jalani. Namun, seringkali kita berada dalam
sikap pesimis, kengerian, keraguan,
dan kebimbangan- kebimbangan yang kita ciptakan sendiri.
Kita sering terbuai dengan alasan-alasan untuk tak
mau melangkah, tak mau menatap hidup.
Karena hidup adalah pilihan, maka pilihlah dengan bijak.

AKU KATA TAK NAK , TAK NAK LAA !


Sempena Hari Tembakau Sedunia ini aku memulakan kempen anti rokok dengan join satu segmen yang diadakan oleh Ben Ashaari ni. Jika anda menyokong kempen antirokok ni boleh join segmen ni dengan KLIK SINI.

5 Sebab Aku Tidak Merokok:

  • Merokok lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada diriku.
  • Merokok meningkatkan risiko  pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru, Sakit jantung dan angin ahmar. Aku ingin hidup sihat.
  • Asap rokok menyusahkan orang lain kerana selain bau  yang busuk , asap rokok juga menambahkan pencemaran udara serta meningkatkan suhu global.
  • Merokok hanya akan membazirkn duit sahaja.
  • Merokok mengakibatkan bau mulut yang busuk

Monday 30 May 2011

Cabar Potensi Diri !


Manusia sememangnya dilahirkan memiliki potensi untuk melakukan perkara-perkara yang hebat di dunia ini. Seandainya potensi sebenar manusia ini betul-betul dikeluarkan pasti akan menghasilkan sesuatu yang luarbiasa bahkan sampai tak terjangkau oleh akal dan fikiran. Artikel yang ditulis oleh Dr. Tengku Asmadi Bin Tengku Mohamad ini mengariskan ada 5 langkah untuk cabar potensi diri iaitu:

1) Letakkan Sasaran Yang Tinggi
Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi. 

4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
 
Sumber: http://www.laman-map.com

Sunday 29 May 2011

Kejayaan Adalah MIlik Mereka Yang Tahan Diuji




Ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Apabila kita diuji sebenarnya kita sedang dalam proses mendapatkan satu pengalaman yang sudah tentu akan mematangkan kita selepas itu. Tanpa ujian kita tidak akan dapat mematangkan diri kerana kematangan itu seiring dengan pengalaman yang kita tempuhi.

Dari kecil hingga ke besar sebenarnya laluan hidup kita dipenuhi oleh pelbagai ujian. Sewaktu kita dilahirkan pun sebenarnya adaah suatu ujian . Selain itu kita juga melalui ujian waktu alam persekolahan, ujian semasa di alam pekerjaan, ujian sewaktu masih bujang dan ujian waktu sudah berumahtangga dan macam-macam lagi.

Bila menyentuh soal ujian ini sudah tentu kita boleh belajar dari sumber rujukan agung kita iaitu Al-Quran da Al-Hadis.


Firman Allah S.W.T.:

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – al-Mulk" (67) : 2
Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian?

Baginda menjawab:" Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan." – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." – al-Baqarah (2) : 157


Sebagai umat Islam memang kita akan diuji sesuai dengan tahap keimananya. Semakin tinggi iman seseorang itu akan semakin berat ujian. Kemapakah begitu? Ini adalah kerana syurga itu dijadikan berbilang-bilang tingkat. Apabila seseorang hamba mampu menghadapi ujian keimanan yang besar maka sudah tentulah Allah akan ganjarkan dia dengan tingkatan syurga paling tinggi. Di situlah terlihat betapa adilnya Allah SWT.

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim;23)

Dalam kehidupan di dunia juga kita diuji sesuai dengan  impian yang ingin kita capai di dunia ini. Semakin besar impian kita maka ujian pun semakin hebat. Ini adalah sunnahtullah yang telah ditetapkan Allah SWT merangkumi semua makhluknya tidak kira Islam atau bukan Islam. Sekiranya seseorang manusia itu sanggup berusaha lebih dan rela menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran maka ganjaran dunia yang diperolehi juga lebih.

Sebagai contoh untuk menjadi seorang doktor pakar maka ujian yang perlu dilalui ialah belajar selama 10 tahun disamping melayan kerenah pesakit dan bekerja siang dan malam tak kira waktu. Sesuatu yang bukan mudah bukan? Tetapi kenapa ramai orang sanggup menempuhinya? Ini adalah kerana ganjaran yang akan diperolehi oleh seorang doktor pakar ialah selepas sepuluh tahun nanti beliau boleh merasakan pendapatan mencecah lima angka malah lebih.

Kesimpulan:
  1. Ujian adalah lumrah dalam kehidupan untuk mematangkan kita
  2. Manusia diuji sesuai dengan tahap keimanannya.
  3. Tiada jalan mudah untuk berjaya melainkan terus berusaha dan tahan dengan ujian yang dilalui.
  4. Makin besar impian dan matlamat maka makin besar ujian yang akan ditempuhi seseorang itu.
  5. Seseorang akan sanggup menempuhi sesuatu ujian itu kerana memiliki impian dan matlamat yang jelas.


Wassalam.

Friday 27 May 2011

Kritik ada caranya

Assalamualaikum,

Macam-macam ragam manusia ni. Ada yang suka buat hal sendiri. Ada yang suka jaga tepi kain orang. Ada juga suka menjatuhkan orang. Ada juga yang suka menjadi batu api.  Macam-macam ada.. Itulah lumrah kehidupan manusia yang penuh ragam..

Ada pula sesetengah manusia ni sanggup menghabiskan masa dan tenaganya untuk mengkritik orang lain tanpa memberi peluang orang yang dikritik itu untuk cuba muhasabah dirinya terlebih dahulu. Kritikan yang diberi pulak  langsung tak membina sebaliknya dapat memusnahkan imej individu yang dikritik tersebut.

Sebenaranya aku tak kisah kalau mengkritik tetapi biarlah kritikan yang diberikan itu kritikan yang membina. Kritikan memang perlu untuk seseorang itu berubah menjadi lebih baik. Tetapi kalau kritikan yang diberikan itu kritikan yang memusnah , ianya tidak akan mencapai apa-apa kebaikan langsung untuk mana-mana pihak. Sebaliknya hanya akan menyemarakkan api permusuhan yang berpanjangan.



Di bawah ini tips yang boleh kita gunakan sebagai panduan dalam membuat  kritikan:

1) Fahami dan kuasai terlebih dahulu permasalahan yang ingin kita kritik itu. Ramai orang yang suka mengkritik tanpa memahami persoalan sebenar sehingga yang muncul adalah kesalahfahaman. Jika tak faham atau memahami hal yang sebenar lebih baik diam dan cari maklumat tambahan terlebih dahulu.

2) Gunakanlah cara mengkritik yang santun dan beretika. Jangan sesekali menyampaikan sesuatu kritikan itu secara emosional apatah lagi menggunakan kata-kata yang kesat sehingga memalukan pihak yang dikritik.

3) Kritik yang hendak disampaikan itu hendaklah disesuaikan dengan situasi dan keadaan. Jangan sesekali menyampaikan kritik yang pedas dihadapan khalayak ramai sehingga membuatkan orang yang dikritik itu malu. Sebaiknya sampaikanlah kritikan dalam keadaan hati yang baik dan tenang.

4) Jika orang perseorangan atau sesuatu organisasi itu bersetuju mengikut sebagaimana yang anda sarankan, jangan sesekali pula rasa semacam berjasa atau telah memainkan perana penting dalam membuat perubahan tersebut. Selain menimbulkan perasaan ujub dan takbur, hal sebegini secara tidak langsung menunjukkan andalah yang sepatutnya yang perlu dikritik.

5) Jangan lupa untuk niat , maksudnya sebelum kita mengkritik seseorang sebaiknya sertai dengan niat untuk melakukan ibadah dalam rangka Amar makruf nahi mungkar. Barulah kritikan kita itu akan dinilai sebagai Ibadah disisiNya.

Wassalam.

Thursday 26 May 2011

Phoenix Bangkit Dari Abu

Assalamualaikum...

Alhamdulillah akhirnya impianku untuk memulakan sebuah blog tercapai hari ini. Blog yang ku namakan "Akulah Phoenix" ini adalah sebuah blog yang melambangkan semula kebangkitan semangat dalam diriku. Semangat yang pernah jatuh namun kini bangkit semula walaupun terpaksa melalui pengalaman yang menyakitkan. Sebab itu kunamakan blog ini sempena Burung Phoenix iaitu nama seekor burung yang menjadi lagenda zaman dahulu kala.

Aku pertama kali mengenal Burung Phoenix ini daripada filem Harry Potter di mana Dumbledore (watak ahli sihir baik) memiliki seekor burung sakti yang dipanggil Phoenix. Burung Phoenix ini digambarkan memiliki bulu yang sangat indah berwarna merah keemasan.  Phoenix dikatakan dapat hidup selama 500 atau 1461 tahun. Setelah hidup selama itu, phoenix membakar dirinya sendiri. Setelah itu, dari abunya, muncullah kembali burung phoenix muda. Phoenix merupakan simbol dari keabadian, lambang dari kitaran kehidupan setelah mati, dan simbol kebangkitan tubuh setelah mati. Teriakan Phoenix juga dikatakan dapat menghasilkan rima lagu yang paling indah.

Harapanku agar blog ini menjadi satu wadah untuk aku berkongsi  serba sedikit pengalaman hidupku yang mungkin bermanfaat untuk mereka yang sudi untuk  membacanya. Wassalam...